[Nota] Peranan Pelajar Muslim

Peranan Pelajar Muslim

Beberapa peranan pelajar muslim telah dikupas dan diterangkan oleh penceramah berdasarkan Hadis Ghulam(Budak). Sebelum menyentuh tentang peranan pelajar muslim, penceramah telah bercerita tentang hadis ini. Di bawah adalah cerita dan penerangan tentang hadis ini.

———————————–Hadis Ghulam (Budak)—————————————-

Dari Suhaib bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita:

Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir.

Bila tukang sihir merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut: “Aku telah tua. Carilah seorang budak (yang paling cerdik) yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku“.

Lalu dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya.Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya. Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan mendengar ajarannya. Akhirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu ia mengadu kepada rahib.

Rahib berkata kepadanya: “Jika kamu takutkan tukang sihir, katakan kepadanya bahawa ibubapaku menahanku (di rumah). Jika kamu takutkan ibubapamu (kerana lewat pulang), katakan kepada mereka berdua tukang sihir telah menahanku“.

Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar yang menghalang laluan orang ramai.

Budak tersebut berkata di dalam hatinya, “Pada hari ini, aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib. Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca: Ya Tuhan, jika sekiranya rahib lebih Engkau cintai dari tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang ramai.”

Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati (orang ramai sangat kagum dengan budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya).
Perkara tersebut diceritakan kepada rahib.

Rahib berkata kepadanya: “Engkau pada hari ini telah menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang. Tapi ingat, engkau akan diuji nanti. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali engkau memberitahu tentang ku“.

Budak tersebut berjaya mengubati penyakit kusta dan sopak. Dan juga dapat mengubat semua penyakit yang dihadapi oleh orang ramai. Suatu ketika seorang pembesar yang dekat dengan raja telah terkena satu penyakit hingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak tersebut, dia telah membawa hadiah yang banyak.

Dia berkata kepada budak tersebut: “semua ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.”

Budak berkata kepadanya: “Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Jika engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan penyakitmu.”

Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan untuknya dan matanya pun sembuh seperti sedia kala. Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja.

Raja terkejut dan bertanya kepadanya: “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?”

Kata pembesar tersebut: “Tuhanku.”

Raja sangat marah dan mengatakan: “Ada ke tuhan lain selain dariku?”

Lalu pembesar tersebut ditangkap dan diseksa hingga dia pun membonngkarkan ajaran budak tersebut.

Budak tersebut dibawa kepada raja lalu raja bertanya: “Aku telah mengetahui kehebatanmu, sekarang kamu dapat menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini.”

Lalu budak itu menjawab: “Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat menyembuhkan ialah Allah.”

Lalu iapun ditangkap dan terus diseksa sehinggalah ia pun membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan seksaan). Lalu rahib pun ditangkap. Ia diserahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak. Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji. Tubuhnya terbelah dua dan keduanya melerai jatuh ke bumi. Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja.

Raja berkata: “Balik semula kepada agama asalmu.”

Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian daripada orang-orang suruhannya dan dikatakan kepada mereka: “Bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan, campakkan dari atas bukit“.

Tiba di sana, budak berdoa kepada Allah: “Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang Engkau kehendaki.”

Tiba-tiba bukit bergegar dan jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan kepada raja.

Raja bertanya: “Mana dia orang-orang suruhanku?”

Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.”

Lalu raja memanggil sebahagian lagi orang-orang suruhannya dan berkata: “Bawa budak ini ke tengah laut. Jika ia enggan, campakkan ia ke dalam laut.”

Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu tenggelam dan semua orang suruhan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja.

Raja terkejut dan bertanya: “Mana orang-orang suruhanku?”

Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.”

Lalu budak tersebut berkata kepada raja: “Kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta.”

Tanya raja: “Apa dia?”

Kata budak: “Engkau kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian engkau ambil satu dari panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian engkau baca: “Dengan nama Allah, tuhan budak ini“. Kemudian engkau panahlah aku. Kalau engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku“.

Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya.

Lalu raja membaca:  “Dengan nama Allah, tuhan budak ini“ dan terus dipanahnya.

Panah tersebut mengenai bawah telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus meninggal dunia.

Tiba-tiba orang ramai berkata: “Kami percaya kepada Tuhan budak ini.”

Raja menjadi kelam kabut dan mengatakan: “Telah berlaku apa yang aku tidak mahu ianya berlaku.”

Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di dalamnya. Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika tidak, akan dicampakkan ke dalam parit tersebut. Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut dicampakkan ke dalam api tersebut.

Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, sabarlah. Engkau berada di atas kebenaran!”

Hadis riwayat Muslim (No.5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq), Tarmizi (No.3263 Kitab Tafseer al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solihin di bawah bab Sabar.

——————————————————————————————————

Pengajaran Hadis dan Peranan Pelajar Muslim:

Hadis ini merupakan kisah terdahulu yang diceritakan olah Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat untuk dijadikan teladan. Perkara seperti ini akan terus dan sentiasa berlaku iaitu di mana, seorang pemuda yang bijak pandai akan dicari dan diberi status tinggi untuk kepentingan sesuatu kerajaan atau negara. Pemuda ini kemudiannya akan berhadapan dengan masyarakat. Untuk mencari budak yang paling pandai dalam sebuah kerajaan atau negara seperti dalam hadis ini, tentulah perlu melalui beberapa ujian. Begitu juga dalam kehidupan kita sekarang. Sebagai contoh, pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM akan mendapat peluang untuk menyambung pelajaran ke universiti, sama ada luar dan dalam negara. Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang paling cemerlang pula akan menjadi sebutan ramai dan juga menjadi contoh kepada yang lain. Selain itu, mereka juga akan menjadi tumpuan ramai.

Daripada hadis di atas kita mengetahui bahawa, budak (ghulam) mempelajari ilmu daripada tukang sihir dan juga rahib. Setiap hari, budak itu akan berulang-alik dari rumahnya ke tempat rahib dan juga tukang sihir. Dari sini kita dapat mengambil beberapa pelajaran seperti:

  • Kita perlu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.
  • Kita perlu mengambil berat tentang apa yang kita pelajari.
  • Kita perlu menyeimbangkan ilmu dunia dan juga akhirat.

Rahib juga ada mengajar budak itu untuk memberi keuzuran, jika dimarahi oleh ibubapanya atau tukang sihir atas kelewatannya. Pengajaran di sini:

  • Memberi keuzuran adalah penting untuk menjaga risalah Islam, supaya ia dapat disampaikan kepada yang lain dengan berterusan.
  • Istisharah atau berbincang dengan orang yang lebih berpengetahuan adalah perlu dalam menyelesaikan masalah, membuat pilihan dan sebagainya.

Kemudian pada suatu hari, budak itu bertemu dengan seekor binatang yang menghalangi  orang ramai daripada melalui jalan. Budak ingin membantu orang ramai dengan ilmu yang dia perolehi dan dalam pada masa yang sama dia ingin mengetahui kebenaran. Dari sini, pengajaran yang kita dapat adalah:

  • Sebagai orang yang berpelajaran, kita hendaklah membantu orang lain dengan ilmu atau kebolehan yang kita ada.

Pada pengakhiran cerita atau hadis ini budak telah mengajar raja untuk membunuh dirinya. Budak sanggup berbuat demikian kerana dia memahami  risalah Islam yang dia pelajarinya dan setelah mengukur betapa ramainya orang yang akan beriman kepada Allah melalui dirinya, maka dia merelainya.

About kuliahsyifa

Kuliah Umum Online Deutschland
Gallery | This entry was posted in Nota. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s